30 September 2024, Putrajaya – Malaysia mencatat sejarah dalam laporan Global Innovation Index (GII) 2024, apabila menduduki tangga ke-33 daripada 133 buah negara – pencapaian tertinggi sejak 2016. Pencapaian ini merupakan peningkatan yang memberangsangkan setelah tiga tahun kekal di tangga ke-36 (2021-2023), sekaligus mengukuhkan kedudukan negara dalam landskap inovasi global.
GII, yang dikeluarkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO), adalah indeks penting yang digunakan oleh negara dan syarikat multinasional untuk menilai ekosistem inovasi serta membantu dalam pembuatan dasar dan keputusan pelaburan.
Malaysia bukan sahaja berjaya memperkukuh kedudukannya secara keseluruhan, malah mengekalkan prestasi cemerlang dalam beberapa bidang utama. Negara ini kekal di tangga kedua negara paling berinovatif dalam kategori Negara Berpendapatan Menengah Atas dan terus menduduki tempat pertama untuk tiga sub-indikator kritikal: Graduan dalam Sains dan Kejuruteraan, Eksport Berteknologi Tinggi, dan Eksport Barangan Kreatif. Kuala Lumpur juga tersenarai dalam 100 Kluster Sains dan Teknologi Terbaik Dunia buat pertama kali, menduduki tangga ke-93.
YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Tuan Chang Lih Kang, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian ini, sambil menekankan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuhkan inovasi. “Kejayaan ini adalah bukti komitmen kerajaan Malaysia Madani dalam membina ekosistem inovasi yang kukuh dan bersinergi. Peningkatan kedudukan kita di peringkat antarabangsa menunjukkan keupayaan kita untuk bersaing secara global, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. Ini juga merupakan hasil daripada usaha bersepadu semua kementerian, agensi, dan pihak berkepentingan lain melalui Jawatankuasa Inter-Agensi Pemantauan Daya Saing GII (JIPGII) yang ditubuhkan pada tahun 2021 di bawah MOSTI.”
Namun, di sebalik pencapaian ini, Malaysia harus terus berusaha untuk meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D). Berdasarkan data terkini, Malaysia mencatatkan Gross Domestic Expenditure on Research and Development (GERD) pada kadar 1%, jauh di belakang negara-negara maju seperti Korea Selatan (4.93%) dan Jepun (3.41%). Bagi mencapai sasaran kedudukan 30 teratas dunia menjelang 2025, Malaysia perlu memperhebat pelaburan dalam R&D, dengan kerajaan dijangka perlu melabur sekitar RM26 bilion setahun dan sektor swasta sebanyak RM60 bilion untuk mencapai sasaran GERD 3.5% pada tahun 2030.
Dalam perancangan ke hadapan, MOSTI akan melancarkan Malaysia Innovation Index (MII) pada tahun 2025, sebuah platform yang akan mengukur tahap inovasi di setiap negeri, membolehkan pelaksanaan intervensi yang tepat untuk memperkukuh ekosistem inovasi di seluruh negara.
“Pencapaian ini adalah langkah penting ke arah menjadi sebuah negara berdaya cipta yang bertaraf dunia. Namun, usaha kita tidak boleh terhenti di sini. Kita harus terus meneroka dan melabur dalam inovasi yang boleh diterjemahkan kepada kemajuan yang mampan dan berterusan bagi mencapai matlamat Ekonomi Madani,” kata YB Menteri.