17 Ogos 2024, Kelantan – Karnival Minggu Sains Negara 2024 Peringkat Negeri Kelantan anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan telah berlangsung pada 17 & 18 Ogos 2024 di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, Kota Baharu, Kelantan.
Perasmian penutup karnival ini telah disempurnakan oleh YB Haji Wan Roslan bin Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Negeri Kelantan dan berjaya menarik lebih 3,000 penyertaan daripada komuniti setempat yang terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi serta orang awam.
Penganjuran Karnival MSN 2024 ini antara lain adalah bagi meraikan kepelbagaian STI di Negeri Kelantan dan juga memberi peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan untuk mengetengahkan teknologi dan inovasi serta menarik minat rakyat setempat khususnya para pelajar dan belia dalam bidang STEM.
Pelbagai aktiviti menarik berteraskan STI disediakan sepanjang Karnival MSN 2024 berlangsung. Antara aktiviti yang diadakan untuk para pengunjung ialah tayangan Mini Planetarium, Pencerapan Solar, Drone Challenge, Pertunjukan Sains Interaktif, Pocket Talk STI dan pameran STI oleh agensi Kerajaan dan swasta.
Karnival MSN 2024 Peringkat Negeri Kelantan ini merupakan penganjuran kedua dalam kalendar siri Karnival MSN 2024 selepas penganjuran karnival seumpamanya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Hadir sama dalam Majlis Perasmian Penutup Karnival Minggu Sains Negara 2024 Peringkat Negeri Kelantan adalah YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI.
Maklumat lanjut mengenai Minggu Sains Negara boleh dilayari menerusi laman web rasmi minggusainsnegara.mosti.gov.my