Skip to main content
Berita

Karnival Minggu Sains Negara (MSN) Peringkat Negeri Johor

20 Ogos 2023, Johor Bahru – Lebih 10,000 pengunjung membanjiri Stadium Tertutup Larkin sempena Karnival Minggu Sains Negara (MSN) Peringkat Negeri Johor pada 19 dan 20 Ogos 2023 anjuran MOSTI dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Karnival selama dua (2) hari itu dilihat sebagai salah satu platform yang mampu menarik minat pelajar-pelajar untuk meminati bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

Penganjuran MSN 2023 adalah satu daripada usaha MOSTI untuk merealisasikan pembudayaan STI dengan memfokuskan kepada pembangunan bakat sains, teknologi dan inovasi berkualiti yang berdaya saing dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara Malaysia.
Pada masa yang sama, pengisian program MSN disusun bagi menarik minat pelajar sekolah rendah dan menengah kepada subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta seterusnya memilih jurusan dalam bidang berkaitan STI.
YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi semasa merasmikan Karnival MSN Johor menjelaskan, setiap program di bawah MSN menyasarkan penglibatan daripada pelbagai pemegang taruh seperti pelajar sekolah, belia kolej dan institusi pengajian tinggi, para guru, pemain industri serta orang awam. Karnival Minggu Sains Negara menawarkan pelbagai pengisian interaktif seperti reruai pameran, demonstrasi sains dan bual bicara yang berteraskan Sains, Teknologi dan Inovasi serta mengikut kesesuaian masyarakat setempat.
Beliau berkata, MSN 2023 bermula April hingga Oktober 2023 memberi fokus kepada tujuh (7) bidang utama termasuk Kesihatan Planet, Kimia dan Bioteknologi, Inovasi Sosial, Kejuruteraan, Nanoteknologi dan Angkasa.
YB Chang Lih Kang turut menegaskan bahawa “Karnival MSN 2023 ini juga bertujuan untuk meraikan kepelbagaian Sains, Teknologi dan Inovasi di setiap negeri dan memberi peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan untuk mengetengahkan teknologi dan inovasi mereka yang tersendiri.”
Pelbagai aktiviti menarik berteraskan STI disediakan sepanjang Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Johor antaranya aktiviti hands on yang menarik seperti Pencerapan Solar, Drone Challenge, Pertunjukan Sains Interaktif, Aktiviti Robotik, DIY Roket STEM, Planet Virtual Reality dan Pocket Talk STI. Terdapat juga penyertaan pelbagai agensi dan institusi dalam reruai pameran antaranya Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia yang bertajuk All About Numbers, kegunaan bahan kimia oleh Jabatan Kimia Malaysia dan sebagainya.
Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Johor ini telah dilaksanakan dengan jayanya dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua pengunjung. MOSTI juga berharap agar kerjasama erat yang telah terjalin ini akan membuahkan hasil dalam membangunkan bakat-bakat berkualiti terutamanya dalam bidang STI di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai Minggu Sains Negara dijemput untuk melayari laman web rasmi minggusainsnegara.mosti.gov.my
Skip to content