Skip to main content
Berita

KARNIVAL SAINS DAN INOVASI ZON TENGAH

By 2012-10-20Mac 10th, 2017No Comments

 

PAROI, Negeri Sembilan (20 Oktober 2012) : Majlis Perasmian Karnival Sains dan Inovasi Zon Tengah telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan. Turut hadir bersama adalah Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Karnival Sains dan Inovasi Zon Tengah ini melibatkan penyertaan empat buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dijangka 10 ribu orang dari segenap lapisan masyarakat akan mengunjungi Karnival Sains dan Inovasi Zon Tengah di Kompleks Belia & Sukan Paroi, Negeri Sembilan. Program Karnival Sains dan Inovasi Zon Tengah akan diadakan pada 20 hingga 21 Oktober 2012.

Negeri Sembilan telah dipilih menjadi tuan rumah untuk Karnival ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat Negeri Sembilan dapat menyertai dan mendapat manfaat daripada aktiviti-aktiviti yang disediakan.

Karnival ini menyediakan sebanyak 42 aktiviti perkongsian ilmu yang berteraskan sains, kreativiti dan inovasi serta pameran sebanyak 200 produk inovasi untuk para pengunjung.  Kebanyakan aktiviti ini adalah bersifat hands-on dan interaktif serta berpotensi menyemarakkan inovasi inklusif dan dijangka akan memberi impak yang mendalam kepada semua lapisan masyarakat.

Antara aktiviti yang dianjurkan ialah LEGO Build It, pertandingan roket air, pencerapan matahari, Angkasawan Space CampGeocaching menggunakan GPS, melukis grafiti, rekacipta bahan terbuang, permainan gasing buluh, dunia Nano (Nano World), Family Innovation Movement, persembahan koir oleh Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), persembahan koir oleh Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Sin Hua serta persembahan Cak Lempong oleh Sekolah Kebangsaan Dato’ Akhir Zaman serta  persembahan Sains Musikal oleh Pusat Sains Negara dan flash mob  oleh pelajar Kuala Lumpur Metropolitan College (KLMU).

Karnival Sains dan Inovasi Zon Tengah, sebagai destinasi terakhir dalam enam siri Karnival yang dijadualkan. Selepas Karnival ini,  satu penganjuran acara kemuncak dan terbesar yang bertaraf antarabangsa iaitu World Innovation Forum Kuala Lumpur (WIF-KL) di Kuala Lumpur akan diadakan pada 5 sehingga 7 November 2012.

Selari dengan WIF-KL ini, MOSTI akan mengadakan BioMalaysia 2012, National Innovation and Exhibition Conference (NICE) dan Nano Malaysia Summit and Expo. Selain dari itu, pelbagai anugerah inovasi peringkat nasional juga akan diadakan seperti Anugerah Inovasi Negara, Anugerah Saintis Muda, Anugerah Juruteknologi Negara, Anugerah Bio Innovation (Biotech Corp), Anugerah Inovasi Akar Umbi (Yayasan Inovasi Negara) dan Anugerah Cipta (Kaki Seni-NGO).Sempena dengan Karnival ini juga, satu lagi program menarik iaitu Jejak Inovasi telah diadakan di semua daerah di Negeri Sembilan oleh Yayasan Inovasi Malaysia dengan kerjasama UiTM Kuala Pilah.

Program ini bertujuan menjejak produk-produk inovasi ciptaan kumpulan akar umbi dan memberi pengiktirafan ke atas usaha mereka yang berjaya membangunkan sesuatu teknologi atau produk tanpa bantuan teknologi canggih tetapi berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan komitmen individu itu sendiri.
Pada sesi tengah hari, Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili sempat merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-5 Program Angkasawan Negara yang berlangsung di dewan yang sama.
Majlis ini ialah salah satu inisiatif untuk memperingati kembali kejayaan Malaysia menghantar rakyat Malaysia ke angkasa lepas di bawah program Angkasawan Negara.