31 Julai 2026, Kuching – YBhg. Dato’ Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengetuai lawatan kerja ke Sarawak Biodiversity Centre (SBC) bagi meninjau dengan lebih dekat peranan serta mandat SBC dalam memanfaatkan kekayaan biodiversiti Sarawak sebagai pemacu pembangunan ekonomi berasaskan sains, teknologi dan inovasi (STI). Turut menyertai lawatan ini ialah Puan Ida Semurni binti Abdullah Ali daripada Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Puan Nurazlinda binti Salahudin selaku wakil Bioeconomy Corporation (BEC) serta wakil daripada Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI (BPSTI), MOSTI.
Delegasi telah diberi taklimat mengenai peranan dan mandat SBC, termasuk inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D), bioprospecting secara lestari, pemuliharaan biodiversiti, dokumentasi pengetahuan tradisional serta pelaksanaan Access and Benefit Sharing (ABS) yang memastikan manfaat hasil penyelidikan dikongsi bersama komuniti tempatan.
Lawatan turut merangkumi sesi tinjauan ke fasiliti penyelidikan SBC termasuk Forest in a Freezer, makmal biodiversiti, pembangunan mikroalga serta perancangan Bio-Industrial Park yang bakal menjadi hab bioindustri berimpak tinggi di Sarawak. Inisiatif ini dijangka membuka peluang baharu dalam pengkomersialan hasil penyelidikan, pembangunan bakat tempatan dan pengukuhan ekonomi berasaskan bio.
Lawatan ini menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama strategik antara MOSTI, BEC, MIGHT dan SBC dalam menyokong aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030, sekali gus memperkasa ekosistem STI negara melalui pengurusan biodiversiti secara mampan demi kesejahteraan masyarakat setempat.




