15 Oktober 2026, Shah Alam – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bersama YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan lawatan tapak ke EDOTCO Group Sdn. Bhd. (EDOTCO) hari ini bagi meninjau kemajuan pelaksanaan Projek SETARA di bawah Program Bengkel Inovasi GLC (BIG) 1.0.
Program BIG 1.0 merupakan inisiatif MOSTI melalui Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) yang bertujuan memperkukuh kerjasama antara sektor korporat, syarikat pemula dan venture builder dalam pembangunan serta pengkomersialan penyelesaian teknologi dan inovasi. EDOTCO merupakan salah satu daripada 8 syarikat korporat yang terpilih menyertai program ini.
Melalui program tersebut, EDOTCO telah membangunkan SETARA Platform, iaitu platform analitik data yang memanfaatkan infrastruktur telekomunikasi dan data 𝑔𝑒𝑜𝑠𝑝𝑎𝑡𝑖𝑎𝑙 bagi menyediakan penyelesaian berasaskan data kepada pelbagai sektor. Pembangunan platform ini bertujuan mempercepat penerapan teknologi serta meneroka peluang pengkomersialan dalam pelbagai sektor industri.
Sehingga kini, Projek SETARA telah berjaya melaksanakan 3 projek rintis merentasi 2 sektor, melibatkan REVL Fitness dan Pizza Amane bagi penggunaan analitik lokasi perniagaan, serta kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi pemantauan kualiti udara secara masa nyata.
Pelaksanaan Projek SETARA mencerminkan komitmen MOSTI dalam memperkukuh kerjasama antara sektor korporat dan syarikat pemula tempatan bagi mempercepat pengkomersialan teknologi, meningkatkan daya saing industri serta memperkasa ekosistem inovasi negara.




