Skip to main content
Berita

Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)

30 Januari 2024, Selangor – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi telah menyampaikan amanat beliau dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Dewan Tun Canselor Universiti Multimedia.

YB Chang Lih Kang dalam ucapannya memberi penekanan kepada konsep Whole of Government Approach (WGA) iaitu kerjasama pelbagai kementerian dan agensi bagi memastikan isu-isu rakyat dapat ditangani melalui pembangunan STI. Melalui WGA, MOSTI dapat memainkan peranan bersama Kementerian berkaitan untuk meningkatkan penerimagunaan teknologi (technology adoption) dalam sektor-sektor yang berpotensi, memperkasa pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta mengenal pasti industri high growth high value (HGHV).
Amanat 2024 YB Tuan Chang Lih Kang memberi fokus kepada beberapa bidang keutamaan iaitu Hidrogen, Kecerdasan Buatan (AI), Bioteknologi – Keterjaminan Makanan & Perubatan Jitu (Food Security & Precision Medicine), Ekosistem Syarikat Pemula (Startups Ecosystem) dan Teknologi Angkasa.
Dalam usaha menjadi peneraju ekonomi hidrogen di rantau ini, MOSTI secara aktif sedang membina rangkaian industri bagi mewujudkan ekosistem teknologi hidrogen bagi mencapai sasaran jangka pendek dalam Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR), antaranya mengeksport tenaga hidrogen ke Korea, Jepun dan Singapura yang bernilai lebih RM20 billion menjelang 2027. Justeru, MOSTI akan menjalin kerjasama dengan pihak industri bagi mewujudkan sebuah Mobile Hydrogen Refuelling Station (MHRS) sebagai satu pilot project serta meneroka peluang aplikasi tenaga hidrogen dalam sektor mobiliti.
Dalam merancakkan ekosistem syarikat pemula tempatan, program-program seperti MYStartup NXT oleh Cradle Fund dan National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) oleh MRANTI akan diteruskan bagi mencapai sasaran 5000 startups menjelang akhir 2025, seperti yang digariskan dalam Ekonomi MADANI. Ini juga akan menyokong inisiatif tetingkap tunggal (single window initiative) (KL20) yang melibatkan kerjasama antara MOSTI dan Kementerian Ekonomi, berperanan sebagai satu tadbir urus baik yang telus dalam menyelaras aktiviti pembiayaan dan pembangunan kapasiti serta meningkatkan prestasi dan visibiliti syarikat pemula niaga tempatan.
MOSTI akan terus menerajui usaha untuk merakyatkan kecerdasan buatan (AI) dengan memastikan pembangunan teknologi yang beretika melalui Garis Panduan Etika AI yang akan dilancarkan pada suku pertama tahun ini. Garis panduan ini akan melengkapi usaha pengukuhan tatakelola, perundangan dan etika, untuk mengawal selia AI susulan ancaman yang sedia ada dan bakal timbul kesan penggunaannya. Selain itu, kepentingan teknologi AI bagi menerokai peluang ekonomi baharu memerlukan bakat negara yang mencukupi. Oleh itu, MOSTI akan turut memainkan peranan dari segi peningkatan kemahiran atau upskilling, dan latihan kemahiran semula atau ‘reskilling’ kepada pekerja.
MOSTI komited dalam menyokong usaha untuk memastikan keterjaminan makanan rakyat melalui R&D teknologi tempatan. Tahun ini, MOSTI melalui Agensi Nuklear Malaysia akan meneruskan Kajian Pembangunan Varieti Padi Baharu MOSTI Tahan Iklim, dengan satu (1) lagi varieti padi termaju akan dihasilkan.
Pengiktirafan yang diterima oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) di peringkat global pada tahun 2023, melalui dua projek berimpak tinggi: MAKGEOPADI dan e-sisa membuktikan kebolehan agensi kerajaan membangunkan sistem atau aplikasi yang memudahkan kehidupan rakyat. Tahun ini, MYSA akan meneruskan lagi pembangunan aplikasi-aplikasi baharu sebagai satu usaha untuk merakyatkan teknologi angkasa bagi menangani cabaran komuniti setempat melalui kerjasama dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya. Antara sistem yang sedang dibangunkan termasuk Sistem Maklumat Arkeologi Melaka, Electronic sabah Mobile Artisanal Remote Technology, Marang Land Information Data System dan DisasterAWARE-Oil Spill Incidents System.
MOSTI selaku kementerian yang menerajui agenda sains, teknologi dan inovasi negara komited untuk menjayakan strategi di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN 2021-2030) melalui tatakelola yang baik dan mengurangkan birokrasi seterusnya merakyatkan sains, menginsankan teknologi dan mengarusperdanakan inovasi.
Skip to content