Skip to main content
Berita

Mesyuarat Kumpulan Kerja Sektoral Vaksin Malaysia 2023 (MVSWG 2023)

5 Januari 2024, Selangor – Mesyuarat Kumpulan Kerja Sektoral Vaksin Malaysia 2023 (MVSWG 2023) telah diadakan pada 5 Januari 2024 bertempat di Malaysia Genome and Vaccine Institute (MGVI), National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) Bangi, Selangor.

Mesyuarat ini dipengerusikan bersama oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan.
Turut hadir ke mesyuarat ini adalah YBhg. Datuk Dr. Nor Fariza binti Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), MOSTI. Ahli-ahli mesyuarat MVSWG ini terdiri daripada wakil pelbagai Kementerian iaitu Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Technology Depository Agency (TDA). Agensi di bawah MOSTI seperti NIBM, Bioeconomy Corporation dan Akademi Sains Malaysia (ASM) turut sama menganggotai jawatankuasa ini.
Mesyuarat yang diadakan dua (2) tahun sekali ini, bertujuan untuk membincangkan agenda-agenda dalam membangunkan ekosistem vaksin negara dan pelaksanaan keseluruhan strategi dan inisiatif Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN). Antara intipati mesyuarat ini adalah berkenaan penstrukturan tadbir urus PPVN yang melibatkan penubuhan Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Vaksin Negara (NASCOV) bagi meningkatkan koordinasi dan memperkasa pelaksanaan PPVN, status pembangunan dan penyelidikan vaksin dan pelaburan dalam pembangunan ekosistem vaksin Malaysia.
Turut dimaklumkan dalam mesyuarat tersebut, NIBM selaku agensi di bawah MOSTI dan pelaksana bagi inisiatif di bawah PPVN ini, telah berjaya dalam undian untuk menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah bagi penganjuran World Society for Virology Conference 2025 (WSV2025) pada 6 hingga 8 Mei 2025.
Dijangkakan pakar-pakar yang terlibat dalam ekosistem genom dan vaksin daripada dalam dan luar negara akan hadir ke persidangan ini. Diharapkan persidangan ini akan mewujudkan satu platform kerjasama antara pakar virologi Malaysia dengan pakar seluruh dunia dalam inisiatif genom dan pembangunan vaksin.
Skip to content