Skip to main content
Berita

Mesyuarat Kumpulan Kerja Sektoral Vaksin Malaysia (MVSWG) 2026

25 September 2026, Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah mengadakan Mesyuarat Kumpulan Kerja Sektoral Vaksin Malaysia 2026 (Malaysia Vaccine Sectoral Working Group – MVSWG 2026) yang dipengerusikan bersama oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha MOSTI dan YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha KKM di Bilik Gerakan MOSTI, Putrajaya.
Mesyuarat turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Zahrul Hakim bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, YBrs. Dr Ismuni bin Bohari, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Puan Norsham binti Abdul Latif, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI serta wakil-wakil daripada kementerian, jabatan dan agensi yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekosistem vaksin negara.
MVSWG merupakan platform penyelarasan strategik antara MOSTI dan KKM serta agensi-agensi yang penting dalam menyokong pembangunan vaksin negara, bagi memantau pelaksanaan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) 2021–2030, memperkukuh kerjasama rentas kementerian serta memastikan pembangunan industri vaksin negara dilaksanakan secara tersusun, bersepadu dan mampan.
Antara intipati mesyuarat adalah penelitian kemajuan pelaksanaan inisiatif-inisiatif strategik di bawah PPVN yang merangkumi pembangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin, pengukuhan kapasiti pembuatan tempatan, pembangunan modal insan, kemajuan infrastruktur Good Manufacturing Practice (GMP), pengukuhan ekosistem inovasi serta kerjasama strategik di peringkat nasional dan antarabangsa.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan usaha memperkukuh rantaian nilai pembangunan vaksin negara melalui pengukuhan aspek pengkomersialan, pelaburan strategik, pembangunan teknologi dan peningkatan daya saing industri. Perbincangan ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk membangunkan ekosistem vaksin yang lebih berdaya tahan, berdaya saing serta mampu menyokong akses kepada pasaran serantau dan global.
Mesyuarat turut mengambil maklum perkembangan beberapa inisiatif strategik termasuk usaha membangunkan Kerangka Pengkomersialan Vaksin Malaysia (KKVM), pengukuhan kerjasama dengan rakan strategik antarabangsa, pembangunan bakat dalam bidang vaksin serta usaha memperkukuh kapasiti regulatori negara sebagai pemangkin kepada pembangunan industri vaksin tempatan.
Melalui pelaksanaan PPVN, Kerajaan komited untuk terus memperkukuh keupayaan Malaysia dalam penyelidikan, pembangunan, pengeluaran dan pengkomersialan vaksin, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman penyakit berjangkit dan pandemik pada masa hadapan. Inisiatif ini turut menyokong agenda keselamatan kesihatan negara serta aspirasi Malaysia untuk menjadi hab inovasi bioteknologi dan vaksin yang berdaya saing di peringkat serantau.
Skip to content