14 Mei 2024, Putrajaya – Mesyuarat Majlis Sains Negara pertama bagi tahun 2024 pada hari ini dipengerusikan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri. Mesyuarat ini membincangkan pelbagai usaha Kerajaan dalam memartabatkan lagi bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) berteraskan nilai-nilai MADANI.
Mesyuarat pada kali ini memberi fokus kepada pengukuhan mekanisme handshake untuk memastikan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R,D,C,I) yang berimpak tinggi serta berpacukan keperluan negara dan rakyat. Mesyuarat ini telah meluluskan Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi Negara (RDICE); mengandungi tiga (3) teras, enam (6) strategi dan 20 pelan tindakan. Strategi Pelan Hala Tuju RDICE bakal memanfaatan rangkaian hab inovasi global, menggalakkan penggunaan indeks pengukuran tahap teknologi, pengenalan konsep Return on Value (ROV), memprofilkan institusi penyelidikan dan mengiktiraf kepentingan Technology Transfer Officer (TTO).
Pelaksanaan Pelan Hala Tuju RDICE adalah secara berperingkat mulai tahun 2024 sehingga 2030 dan dijangka menyumbang RM9.21 trilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara menjelang tahun 2030. Mesyuarat bersetuju supaya semua pihak berkepentingan perlu berkongsi data dan maklumat berkaitan penyelidikan dan pembangunan masing-masing untuk diselaraskan dalam satu platform ekosistem induk R&D negara bagi memaksimakan potensi R&D dan pengkomersialan negara.
Majlis Sains Negara juga telah bersetuju dengan konsep Pemerkasaan Ekonomi Biru untuk mewujudkan kemampanan ekonomi lautan yang terhasil melalui keseimbangan aktiviti ekonomi, dengan kapasiti ekosistem lautan yang berdaya tahan dan sejahtera. Ekonomi Biru yang lestari dan berinovasi mampu menjana pulangan nilai daripada sektor marin dan maritim negara dengan potensi peningkatan sumbangan sumber marin dan lautan kepada KDNK negara daripada 21.3% kepada 31.5% pada tahun 2030, dengan penglibatan 13 kementerian/ agensi kerajaan berkaitan. Mesyuarat juga bersetuju supaya penyelarasan secara bersepadu diterajui oleh Kementerian Ekonomi (KE) agar dapat meneruskan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Negeri.
Majlis Sains Negara turut mengambil maklum mengenai kepentingan Malaysia untuk membangunkan teknologi dan kepakaran tempatan bagi mewujudkan Ekosistem Industri Bahan Termaju Unsur Nadir Bumi (REE), yang mampu menyumbang sebanyak RM9.5 bilion kepada KDNK. Selain itu, pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) telah membangunkan Manual Penjanaan Perjalanan Malaysia 2020 (MyTripGen 2020), sebagai dokumen rujukan pengamal kejuruteraan trafik dalam membuat unjuran penjanaan trafik, berdasarkan cadangan pembangunan guna tanah baharu atau tambahan di sesuatu kawasan.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang, mesyuarat NSC kali ini memberi penekanan kepada pembangunan bakat STIE berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri, seiring dengan fokus negara ke arah penerokaan dan pembangunan industri high growth high value (HGHV).
Tambah beliau, NSC mencerminkan usaha bersepadu kerajaan Malaysia MADANI melalui kerjasama pelbagai Kementerian dan Agensi atau Whole of Government Approach bagi menangani cabaran semasa dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat.
MOSTI akan terus memperkukuh Majlis Sains Negara sebagai platform bagi menetapkan hala tuju dan dasar STI negara melalui penglibatan kerajaan, industri dan akademia dalam strategi pembangunan negara, di samping mengenalpasti bidang-bidang sains, teknologi dan inovasi yang berpotensi untuk diteroka bagi pelaburan berimpak tinggi.