Skip to main content
Berita

Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC)

7 Jun 2023, Kuala Lumpur – Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) pertama bagi tahun 2023 pada hari ini dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri. Mesyuarat membincangkan pelbagai usaha kerajaan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) berteraskan nilai-nilai MADANI. NSC merupakan platform bagi menetapkan hala tuju dan dasar STI negara melalui penglibatan kerajaan, industri dan akademia untuk membina kepercayaan di antara kerajaan dengan rakyat, berlandaskan ketelusan dan kerjasama.
Mesyuarat bersetuju dengan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (Hydrogen Economy and Technology Roadmap-HETR). HETR ini menyokong Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 di bawah Dasar Tenaga Negara 2022-2040. Lima (5) teras strategik telah digariskan bagi membangunkan ekosistem hidrogen yang teguh dan berdaya saing di sepanjang rantaian nilai, bagi mencapai wawasan menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi hidrogen menjelang tahun 2050.
HETR secara strategik akan meletakkan Malaysia dalam kedudukan global yang sangat menguntungkan kerana pasaran global bagi hidrogen hijau diunjurkan mencapai USD189.19 bilion pada tahun 2050. Daripada jumlah diunjurkan ini, sebanyak USD81.12 bilion (43%) nilai pasaran adalah di rantau Asia Pasifik, diikuti oleh ASEAN sebanyak USD25.81 bilion (13%) dan Malaysia pada USD3.1bilion (2%).
Negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, China, Australia, dan beberapa negara ASEAN telah mula menceburi sektor hidrogen dan meneroka penggunaan hidrogen dalam sektor mobiliti, industri dan sektor-sektor intensif tenaga yang lain, selaras dengan sasaran peralihan tenaga, keperluan penyahkarbonan serta selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Menjelang tahun 2030, diunjurkan antara 0.4%-1.3% pengurangan Gas Rumah Hijau (GHG) dapat dicapai bergantung kepada model pelaksanaan yang dicadangkan dalam HETR. Selain itu, penjanaan pendapatan sehingga RM12.1 bilion dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara antara RM49 bilion dan RM61 bilion dijangkakan pada tahun 2030, di samping penjanaan peluang pekerjaan sehingga 45,000 menjelang tahun 2030.
Strategi di bawah HETR bakal memacu penggunaan tenaga lestari negara yang diunjurkan menyumbang kepada pengurangan 6% pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) dan menjana sehingga 200,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2050. Pembangunan keupayaan dan pemacuan teknologi tinggi di bawah HETR menyasarkan penghasilan hidrogen dengan kos yang kompetitif, bagi penggunaan domestik untuk sasaran transisi tenaga negara dan tujuan eksport. Di Malaysia, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Sarawak Energy Berhad telah bekerjasama dalam pengeluaran komersial hidrogen hijau dan penerokaan rantaian bekalan nilainya di Asia bagi memenuhi permintaan terhadap tenaga bersih global. Antaranya melalui pengukuhan keupayaan penyelidikan, peningkatan pengetahuan dalam teknologi serta pembangunan berkaitan hidrogen.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melaksanakan inisiatif dan projek berkaitan teknologi hidrogen, meliputi penjanaan dan mobiliti hidrogen melalui kerjasama antara agensi seperti NanoMalaysia dengan pihak industri tempatan bagi projek pengisian semula hidrogen untuk mobiliti awam. Ini merupakan inisiatif yang pertama seumpamanya di Semenanjung Malaysia.
Majlis Sains Negara pada kali ini juga mengambil maklum mengenai kepentingan Akta Lembaga Angkasa Malaysia (Akta 834) dan penubuhan Bahagian Penguasa Angkasa. Akta dan penubuhan bahagian ini adalah amat penting ke arah mencapai sasaran menjadikan Malaysia di antara 3 negara terbaik dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi angkasa di Asia Tenggara, serta mencapai 50% tahap berdikari dalam teknologi angkasa.
351784365 283776377398510 3179216594123262375 n     351151814 3125143221119120 6605174866924579494 n352748343 1184944725513375 7427969211601102791 n     351490284 102262259568673 7472016473758172945 n
Skip to content