Skip to main content
Berita

MYStartup NXT Johor Baharu

29 Februari 2024, Johor – MYStartup NXT, siri persidangan mikro oleh MYStartup di bawah Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), sebuah agensi focal point bagi startup Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah membuka tirai tahun 2024 di lokasi baharu, Iskandar Puteri, Johor.
Persidangan ini melibatkan lebih daripada 200 peserta dalam ekosistem startup bukan sahaja dari Johor tetapi juga Singapura. Peserta mendapat manfaat melalui perkongsian mengenai strategi perniagaan termasuk perancangan serta peningkatan hasil, sokongan pendanaan dan kisah inspirasi daripada usahawan tempatan, agensi kerajaan, pakar industri dan lain-lain.
YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah merasmikan MYStartup NXT Johor. YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBrs. Encik Norman Matthieu Vanhaecke, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund Sdn. Bhd. dan YBhg. Dato’ Idzham Mohd Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB) turut hadir bersama.
YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Bin Apdal menekankan komitmen MOSTI dalam merealisasikan potensi Malaysia sebagai sebuah negara hab teknologi dan inovasi, sejajar dengan matlamat Malaysia MADANI dan prinsip PRECISE, serta matlamat negara dalam menjadi antara 20 ekosistem startup global terbaik menjelang 2030.
Prinsip PRECISE adalah merangkumi intipati ekosistem berpaksikan rakyat, penyelidikan dan pembangunan, pembudayaan, pembinaan kapasiti, pelaburan dan ekosistem startup. Beliau turut menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MOU) di antara Cradle dan IIB sebagai rakan kongsi di bawah Program MYStartup bagi pembangunan ekosistem di Johor.
Berdasarkan Global Startup Ecosystem Index Report, sebuah laporan tentang ekosistem global daripada StartupBlink, kedudukan Johor Bahru melonjak 404 anak tangga, sekali gus meraih tempat dalam kalangan 600 bandar terbaik di seluruh dunia pada tahun 2023 dan mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan 1,000 bandar.
Ekosistem startup Johor kini berkembang pesat dan mengalami pertumbuhan yang ketara didorong oleh kedudukan geografi yang strategik, inisiatif kerajaan yang proaktif dan kumpulan bakat yang semakin berkembang. Lebih daripada 100 startup yang berpangkalan di Johor telah disenaraikan dalam Portal MYStartup termasuk DF Automation & Robotics (robotik), Materials in Works (climate tech), Sayur Kita Asia (agritech) dan Imagine AI (kecerdasan buatan).
Bersama-samalah kita membina masa depan di mana startup Malaysia dapat berkembang, meningkatkan inovasi dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara kita.
Skip to content