Skip to main content
Berita

MYStartup Roadshow Meneruskan Siri Jelajah Edisi Ketujuh Di Pahang

18 Oktober 2022, Pahang – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba hari ini telah melancarkan siri jelajah MYStartupEast Coast Region Roadshow di Gambang, Pahang.

Siri jelajah edisi ketujuh MYStartup Roadshow ini yang dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi agensi pelaksana, Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), merupakan lanjutan daripada beberapa siri jelajah sebelum ini dalam usaha meneroka dan memperkasa ekosistem startup di Malaysia.

YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba berkata, “Hentian di negeri Pahang ini adalah hentian yang ketujuh untuk mempergiatkan usaha pemerkasaan ekosistem startup negara bagi memastikan komuniti startup tidak ketinggalan dalam menerima manfaat daripada program-program anjuran MOSTI.”

Hadir sama pada pada majlis pelancaran siri jelajah tersebut ialah Timbalan Menteri Kewangan I, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Bin Abdullah. Beliau menyatakan komitmen Kementerian Kewangan dalam menyokong program MYStartup East Coast Region Roadshow.

Program MYStartup yang telah dilancarkan pada Februari tahun ini telah mengenal pasti kekangan utama yang dihadapi oleh komuniti startup iaitu kurangnya sokongan kepada program-program pembangunan kapasiti serta modal insan. Syarikat-syarikat startup ini mempunyai potensi yang besar tetapi memerlukan pendedahan serta bimbingan secara berterusan oleh pihak berkepentingan, bukan sahaja agensi persekutuan seperti Cradle tetapi juga entiti daripada pihak negeri.

Pada masa yang sama, setiap entiti negeri dan persekutuan turut digalakkan berkomunikasi secara berterusan antara satu sama lain bagi mencapai matlamat melahirkan lebih banyak startup yang berpotensi di negeri ini. Selain MYStartup Roadshow, program-program lain di bawah MYStartup termasuklah, MYHackathon, MYStartup Pre-Accelerator, MYStartup Accelerator, MYStartup Internship dan MYStartup Mentorship.

Antara aktiviti sepanjang jelajah adalah sesi taklimat berkenaan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup (SUPER), sesi demo portal MYStartup, sesi panel berkaitan ekosistem startup serta peluang pembiayaan yang ditawarkan untuk komuniti startup. Turut diadakan adalah sesi perkongsian oleh rakan-rakan strategik program MYStartup dan sesi konsultasi secara one-to-one.

Maklumat lanjut mengenai ekosistem startup Malaysia, program-program yang bakal dianjurkan Cradle dan juga maklumat berkenaan hentian siri jelajah MYStartup Roadshow, startup, pelabur, pemain industri dan pembina ekosistem sila layari dan mendaftar di portal MYStartup di www.mystartup.gov.my

 

DSC 2049           DSC 2092

DSC 2105           DSC 2189

Skip to content