Skip to main content
Berita

Pelancaran Ezycart : Troli Beli-Belah Pintar (Revolusi Peruncitan) Oleh NanoMalaysia Berhad

14 Jun 2023, Putrajaya – EzyCart, troli beli-belah pintar dijangka akan membawa perubahan dalam industri runcit dilancarkan oleh YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Pasar Raya Redtick, Putrajaya. Troli berteknologi tinggi ini merupakan contoh hasil inovasi tempatan dalam era Revolusi Industri ke-4.
EzyCart ialah teknologi yang dibangunkan oleh NanoMalaysia Berhad, sebuah agensi di bawah MOSTI dengan kerjasama Retailetics Sdn Bhd, sebuah syarikat penyedia penyelesaian automasi runcit berasaskan kecerdasan buatan atau ‘AI’. EzyCart menawarkan pengalaman membeli belah secara peribadi dan dibangunkan berpandukan maklum balas daripada para pembeli dan peruncit.
Susulan kejayaan prototaip pada tahun 2022, troli beli-belah pintar ezyCart kini dilengkapi dengan perisian yang dioptimumkan untuk pengumpulan data serta analisis yang lancar, dan melangkah ke fasa percubaan di beberapa pasar raya, termasuklah Pasar Raya Redtick di Shaftsbury Square, Cyberjaya. Pembangunan teknologi AI di ezyCart menggunakan ciri-ciri kemajuan teknologi nano seperti dalam sektor semikonduktor yang membolehkan pemprosesan dibuat dengan lebih pantas. NanoMalaysia juga memastikan permukaan troli ezyCart sentiasa bersih dengan adanya bahan antibakteria yang berasaskan teknologi nano.
YB Chang Lih Kang berkata: “Projek ezyCart perlu dilihat dalam landskap industri runcit pintar yang lebih luas. Sektor beli-belah runcit pintar di rantau Asia Pasifik mencatatkan hasil berjumlah USD8.38 bilion pada tahun 2020. Jumlah ini dijangka melonjak melebihi USD25 bilion menjelang tahun 2025 dan menguasai 70% bahagian pasaran runcit global. Momentum pertumbuhan yang ketara dalam pasaran runcit pintar Malaysia dijangka mencecah RM1 bilion menjelang tahun 2025. Angka-angka ini menunjukkan potensi besar dan peranan penting yang boleh dimainkan oleh Malaysia dalam membentuk masa depan industri runcit pintar.”
Gabungan kepakaran Retailetics dalam pembangunan pasaran berasaskan e-dompet dan penyelesaian pengkomputeran awan membolehkan ezyCart memenuhi kehendak pengguna dan peruncit. Pembeli dapat merasai pengalaman baru membeli-belah dengan skrin pada troli yang memaparkan maklumat produk, promosi dalam kedai dan pilihan untuk membuat pembayaran terus atas troli yang digunakan. Tiada lagi keperluan beratur di kaunter untuk membuat bayaran.
Troli beli-belah pintar ezyCart menampilkan sistem pengesahan produk 3 titik termasuk pengimbas kod bar, pengesahan berat dan muatan barangan, serta teknologi pembelajaran mendalam dengan gabungan sensor yang mengoptimumkan penyelesaian pemprosesan terkini berasaskan teknologi nano. Ciri-ciri canggih ini membolehkan pembeli membuat pembelian dengan proses pembayaran yang mudah.
354249201 649851143837211 5588417922048481034 n    353865725 649851303837195 492883535649334143 n352771930 649851427170516 952637652970962832 n    354259522 649851757170483 612867565797273041 n
Skip to content