Skip to main content
Berita

Pelancaran Program Rancangan Realiti TV Inovasi: Innovathon

14 April 2023, Inisiatif bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Program Rancangan Realiti TV yang dikenali INNOVATHON telah dirasmikan oleh YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi di Majlis Pra-Pelancaran INNOVATHON pada 14 April 2023. Turut hadir YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) dan pegawai kanan MOSTI.
INNOVATHON adalah Program Rancangan Realiti TV platform yang akan disiarkan melalui saluran Astro bagi inovator tempatan dari pelbagai peringkat untuk mengetengahkan idea dan hasil ciptaan teknologi dan inovasi kepada rakyat Malaysia umumnya dan potensi untuk mendapatkan pelaburan dalam pengkomersialan produk inovasi melalui program tersebut.
MOSTI yang menerajui Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan pemerkasaan ekosistem startup tempatan melalui Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030, menjemput semua yang berdaya inovasi termasuk usahawan teknologi, penyelidik, startup dan pelajar untuk turut menyertai INNOVATHON. Program ini dapat meningkatkan lagi minat dan penglibatan rakyat Malaysia dalam STI selaras dengan slogan MOSTI iaitu ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi.’
Enam (6) Sesi Uji Bakat akan diadakan di seluruh Malaysia bagi mencungkil bakat-bakat inovator sedia ada dan seterusnya dibimbing dan dibantu oleh mentor-mentor yang berkelayakan dalam ekosistem penyelidikan, pembangunan dan inovasi semasa episod mingguan berlangsung. Sebanyak lapan (😎 episod INNOVATHON melibatkan 56 peserta yang telah melepasi proses saringan di Sesi Uji Bakat akan dijemput.
Para peserta berpeluang memenangi hadiah wang tunai dan pelaburan jenis perkhidmatan sehingga RM1 juta bagi menambah baik dan mengkomersialkan produk inovasi mereka. Penyertaan adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan had umur. Peserta perlu menyediakan klip video berdurasi 1 minit dan dihantar melalui e-mel ke inovasi@astro.com.my selewat-lewatnya pada 7 Mei 2023.
MOSTI yakin pelaksanaan program ini akan melonjakkan lagi pembudayaan STI di semua peringkat dan seterusnya dapat melahirkan bakat-bakat teknologi/usahawan berdaya cipta selari dengan aspirasi Malaysia Madani dan menjadi pelengkap kepada ekosistem teknologi tempatan. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan juga percambahan syarikat-syarikat pemula (startup) dan perkembangan ekosistem startup tempatan. Pengukuhan ekosistem penyelidikan, pembangunan dan inovasi tempatan memacu pertumbuhan ekonomi dan transformasi negara ke arah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
340974288 1411154719678910 7096185111915831909 n    340947038 772802780925645 3937241835765135322 n
Skip to content