Skip to main content
Berita

Program Promosi Bersasar (Technology Preview & Showcase – TPS) siri pertama tahun 2024

27 Februari 2024, Johor Bahru – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah mengadakan Program Promosi Bersasar (Technology Preview & Showcase – TPS) siri pertama tahun 2024 di Johor Bahru.
TPS merupakan salah satu strategi berterusan Agensi Nuklear Malaysia dalam rangka promosi pengkomersilan produk, perkhidmatan dan teknologi nuklear dari makmal kepada masyarakat. Selain itu, objektif TPS adalah untuk meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi (technology adoption) nuklear dalam sektor-sektor yang berpotensi, memperkasa pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta mengenal pasti industri high growth high value (HGHV) serta memastikan isu-isu rakyat dapat ditangani melalui pembangunan STI.
Bermula tahun 2023, program ini telah diadakan secara bersiri di beberapa lokasi dan pada tahun 2024, TPS diteruskan lagi ke tiga buah lokasi mengikut zon iaitu zon selatan (Johor), zon utara (Kedah) dan zon tengah (Selangor).
Pada kali ini, TPS siri 1 di Johor Bahru , mengetengahkan 10 pembentangan oleh pakar dalam bidang aplikasi dan penggunaan teknologi nuklear. Turut diadakan adalah pameran produk dan perkhidmatan serta teknologi hasil R&D&C&I dari para penyelidik daripada Agensi Nuklear Malaysia.
Melalui program ini juga, para peserta boleh mengenali Agensi Nuklear Malaysia dengan lebih dekat dan menjalinkan kerjasama melalui padanan perniagaan bersama pemegang-pemegang taruh bagi mempertingkatkan daya saing industri,
memperkukuhkan kesejahteraan rakyat dan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi nuklear sekaligus menyokong pertumbuhan sosio-ekonomi negara.
Agensi Nuklear Malaysia amat mengalu-alukan jaringan kerjasama strategik bersama-sama pihak industri dan yang berkepentingan bagi mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman di Malaysia. Bagi pemegang taruh
yang berminat bekerjasama dan menerimaguna (adopt) hasil R&D Nuklear Malaysia boleh melayari laman sesawang www.nuclearmalaysia.gov.my atau email terus hasrat kerjasama kepada Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia di kpnm@nm.gov.my.
Program ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin
Hashim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Hadir sama dalam program ini adalah YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah, Agensi Nuklear Malaysia selaku penasihat Program TPS dan YBrs. Puan Noraishah binti Pungut, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom.
Skip to content