28 Julai 2026, Kota Kinabalu – YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah merasmikan Road to Growth (R2G) 2026 Sabah yang telah menghimpunkan inovator, usahawan, pelabur, pemain industri, agensi kerajaan serta rakan ekosistem dalam usaha memperkukuh pembangunan teknologi dan inovasi di Sabah.
Program anjuran Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) ini menyediakan platform untuk memperluaskan akses kepada pembiayaan, pengkomersialan teknologi, pembangunan perniagaan serta jaringan kerjasama strategik.
Dalam ucapannya, YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof Apdal menegaskan bahawa teknologi merupakan pemudah cara pembangunan yang mampu meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing industri serta membuka peluang ekonomi baharu, khususnya di Sabah yang mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian, biodiversiti, tenaga boleh baharu, pelancongan dan ekonomi digital.
Selaras dengan aspirasi MOSTI untuk memperkasa ekosistem inovasi negara, R2G 2026 Sabah menjadi platform yang menghubungkan teknologi, industri dan pelaburan bagi mempercepat pengkomersialan inovasi tempatan serta menyokong pertumbuhan ekonomi berasaskan sains, teknologi dan inovasi.




