Skip to main content
Berita

Sesi Demonstrasi Penggunaan Mobile Hydrogen Refueling Unit (MHRU) dan Kenderaan Toyota Mirai

1 April 2024, Putrajaya – YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri telah menyempurnakan Sesi Demonstrasi Penggunaan Mobile Hydrogen Refueling Unit (MHRU) dan Kenderaan Toyota Mirai di Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.
Susulan kepada pemeteraian Dokumen Kerjasama Projek Mobile Hydrogen Refueling Station (MHRS) di antara rakan industri tempatan dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sempena World Renewable Energy Congress (WREC) pada Julai 2023, MOSTI telah mengorak langkah awal melalui kerjasama dengan UMW Toyota Motor Sdn Bhd dalam mengetengahkan potensi mobiliti hidrogen, khususnya di Semenanjung Malaysia. MHRS dijadualkan akan mula beroperasi sebelum akhir tahun ini.
Sejajar dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) dalam usaha memacu teknologi ke arah transisi tenaga lebih bersih berasaskan hidrogen, majlis ini diadakan untuk memberi pendedahan awal kepada para pemegang taruh, terutamanya dalam ekosistem teknologi peralihan tenaga dan hidrogen, serta masyarakat berkenaan mobiliti hidrogen melalui penggunaan Unit Pengisian Semula Hidrogen Mudah Alih (Mobile Hydrogen Refueling Unit – MHRU).
MHRU merupakan teknologi pengisian semula hidrogen ke dalam kenderaan dengan hidrogen menggantikan bahan api fosil. MHRU juga bersifat mudah-alih yang membolehkannya dipindahkan ke lokasi yang berbeza mengikut keperluan semasa.
Kenderaan yang digunakan ialah Toyota Mirai, iaitu kenderaan jenis elektrik sel bahan api (Fuel Cell Electric Vehicle – FCEV) yang menjana elektrik menggunakan hidrogen untuk pemacuan kenderaan, dengan air sebagai hasil sampingan tanpa sebarang pelepasan karbon. ‘Mirai’ adalah perkataan Jepun yang bermaksud ‘masa depan’ dan Toyota Mirai generasi kedua ini mempamerkan inisiatif konsisten pihak syarikat dalam memacu teknologi FCEV untuk mencapai sasaran penyahkarbonan mobiliti.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam pembangunan sosioekonomi negara terutamanya rukun kemampanan dan daya cipta, pelaksanaan MHRU dan MHRS adalah sebahagian daripada pelan tindakan yang telah direncanakan melalui HETR untuk pembangunan kapasiti dan pelaburan modal insan di sepanjang rantaian nilai ekonomi hidrogen, khususnya mobilit rendah karbon. Usaha ini juga adalah selaras dengan sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Dasar Tenaga Negara 2022-2040 (DTN) dan aspirasi Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB).
MOSTI kekal komited untuk menjadikan Malaysia di kalangan negara ekonomi terkemuka dunia melalui pemacuan teknologi dan mencapai sasaran penyahkarbonan global menjelang tahun 2050.
Skip to content