14 – 15 Oktober 2026, Vietnam – YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, mewakili Malaysia hadir 90ᵗʰ Meeting of the ASEAN Committee on Science, Technology and Innovation (COSTI-90) bagi pihak YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha MOSTI dan juga Pengerusi COSTI Malaysia di Da Nang, Viet Nam.
Mesyuarat selama dua hari ini menjadi platform penting kepada Negara Anggota ASEAN untuk meneliti kemajuan kerjasama serantau dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI), membincangkan inisiatif yang sedang dilaksanakan serta menilai status pelaksanaan projek dan program STI di bawah pelbagai kerangka kerjasama ASEAN, termasuk kerjasama dengan Rakan Dialog ASEAN dan organisasi antarabangsa.
Selaku Naib Pengerusi COSTI bagi tahun 2026, Malaysia turut memainkan peranan kepimpinan yang aktif dengan mempengerusikan separuh kedua mesyuarat tersebut.
Antara acara penting yang dilaksanakan sepanjang mesyuarat dua hari ini ialah program 2026 ASEAN-US Science Prize for Women yang dianjurkan dengan kerjasama US-ASEAN Business Council dan UL Research Institutes. Program ini merangkumi sesi penilaian bagi calon-calon yang berjaya ke peringkat akhir dan majlis penyampaian anugerah yang turut diserikan dengan kehadiran serta ucapan alu-aluan oleh TYT Vu Hai Quan, Menteri Sains dan Teknologi Viet Nam. Inisiatif ini mencerminkan komitmen ASEAN dalam mengiktiraf sumbangan wanita terhadap penyelidikan saintifik dan inovasi, di samping menggalakkan penyertaan wanita yang lebih meluas dalam bidang STI.
Malaysia turut berbangga dengan pencapaian cemerlang Ir. Prof. Dr. Leong Wai Yie dari INTI International University yang berjaya meraih tempat kedua bagi Kategori Senior dalam 2026 ASEAN-US Science Prize for Women tersebut. Kejayaan beliau mencerminkan kecemerlangan dan sumbangan signifikan penyelidik wanita Malaysia dalam memajukan bidang sains dan inovasi di rantau ini.
Sebagai negara penyelaras bagi kerjasama ASEAN–China dalam STI, Malaysia turut membentangkan perkembangan terkini mengenai kemajuan pelaksanaan projek dan inisiatif di bawah kerangka kerjasama tersebut. Ia memperlihatkan usaha berterusan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama STI antara ASEAN dan China.
Selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN COSTI pada tahun 2027, Malaysia turut memaklumkan semasa mesyuarat bahawa penganjuran 23rd ASEAN Ministerial Meeting on Science, Technology and Innovation (AMMSTI-23), the 91st Meeting of ASEAN COSTI (COSTI-91) and Related Meetings dijadualkan secara tentatif pada 21 hingga 25 Jun 2027 di Kuala Lumpur.
Penganjuran mesyuarat-mesyuarat tersebut bakal menjadi satu pencapaian penting bersempena dengan pengambilalihan Kepengerusian ASEAN COSTI oleh Malaysia pada tahun 2027, sekali gus membuka peluang untuk terus memperkukuh agenda dan keutamaan STI ASEAN, memperluas kerjasama strategik serantau serta memacu pembangunan ASEAN ke arah rantau yang lebih inovatif, inklusif dan mampan.




