Skip to main content
Berita

World Renewable Energy Congress (WREC) XXII 2023

17 Julai 2023, Kuala Lumpur – YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang hari ini telah merasmikan World Renewable Energy Congress (WREC) XXII 2023 yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), UKM dan World Renewable Energy Network (WREN) dengan kerjasama Pusat Nanoteknologi Kebangsaan, MOSTI.

Kongres antarabangsa dengan tema “Transition Towards a Carbon-Free Future” ini yang berlangsung selama lima hari bermula 16 Julai 2023, mengumpulkan para saintis, para penggubal dasar, pemain industri khususnya Tenaga Boleh Baharu (TBB), pelajar dan wakil komuniti dari dalam dan luar negara.
YB Menteri dalam ucapannya telah mengutarakan kepentingan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam menangani pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat, termasuk keperluan peralihan tenaga bagi mencapai penyahkarbonan untuk pembangunan sosio-ekonomi yang lebih mampan dan mesra alam.
YB Chang Lih Kang turut menyaksikan acara menandatangani dokumen kerjasama projek Mobile Hydrogen Refueling Station antara NanoMalaysia Berhad (NMB), PETRONAS, UMW dan Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC). Stesen pengisian semula hidrogen ini adalah yang pertama seumpamanya untuk mobiliti hidrogen di Semenanjung Malaysia dan projek kerjasama ini disokong oleh MOSTI sebagai pengisian kepada Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (Hydrogen Economy and Technology Roadmap – HETR).
PETRONAS akan membekalkan serta menyediakan fasiliti pengisian hidrogen mudah alih, pengeluaran hidrogen hijau, serta pengendalian dan penyelengaraan stesen tersebut. NMB pula akan mengguna pakai teknologi tempatan berasaskan nano yang dihasilkan dibawah program Hydrogen EcoNanoMy seperti Sistem Penyimpanan Kiosk Hidrogen dan reaktor hidrogen manakala Kumpulan UMW akan menyumbangkan Toyota Mirai untuk projek kerjasama ini. MGTC pula sebagai organisasi yang bertanggungjawab meneraju usaha mitigasi perubahan iklim, akan memfokuskan kepada pengenalpastian cadangan insentif hijau untuk menyokong kemajuan teknologi sel bahan api hidrogen dan ekosistem rantaian bekalannya di Malaysia, selaras dengan sasaran HETR.
Skip to content