8 Mei 2023, Putrajaya – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini menerima kunjungan hormat dari Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) yang juga Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Negara, YM Academician Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc. Kunjungan hormat berkenaan turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif ASM, Puan Hazami Habib dan Ketua Pegawai Strategik ASM, Puan Nitia Samuel.
ASM adalah agensi di bawah MOSTI yang berperanan sebagai Badan Pemikir bagi sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) negara. Dalam pertemuan berkenaan, YB Tuan Chang Lih Kang antaranya diberikan penjelasan lebih jelas mengenai peranan ASM bagi mendepani cabaran kini dan masa akan datang dengan memaksimumkan keupayaan jaringan pakar ASM di seluruh negara.
Ketika ini ASM mempunyai sejumlah 950 pakar yang terdiri daripada Felo Kanan, Felo, Young Scientists Network, Top Research Scientists Malaysia, Associates dan MSA Laureates.
MOSTI menghargai kepentingan ASM sebagai badan bebas yang menjalankan kajian dan dapatan yang berasaskan fakta serta memberi penyelesaian yang terbaik menerusi STI untuk kesejahteraan Malaysia MADANI.



