Skip to main content
Berita

YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi India yang diketuai oleh TYT Tuan P. Kumaran, Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar India

12 Disember 2023, Kuala Lumpur – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi India yang diketuai oleh TYT Tuan P. Kumaran, Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar India.

Delegasi India yang hadir bersama adalah TYT Tuan B.N. Reddy, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Tuan Sanjiv Singh, Setiausaha Bersama, Jabatan Promosi Industri dan Perdagangan Dalam Negeri (DPIIT), pegawai kanan Suruhanjaya Tinggi India, DPIIT dan Startup India.
Delegasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang turut hadir bersama adalah YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), YBrs. Encik Norman Matthieu Vanhaecke, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Cradle Fund, pegawai kanan MOSTI dan Cradle Fund.
YB Tuan Chang Lih Kang mengetuai perbincangan bersama TYT Tuan P. Kumaran dan delegasi India. Beliau menyambut baik kerjasama dengan Kerajaan India yang bakal memajukan sains, teknologi dan inovasi (STI), khususnya bidang teknologi angkasa, nuklear, semikonduktor, nanoteknologi, hidrogen, bioteknologi termasuk pembangunan vaksin, dan bidang-bidang lain yang boleh membantu mengukuhkan ekosistem startup dan inovasi dari peringkat akar umbi.
Hubungan kerjasama dalam pengukuhan ekosistem startup ini telah dimeterai dalam sesi pertukaran surat kerjasama antara Cradle Fund dan Startup India yang disaksikan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dan TYT Tuan P. Kumaran, Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar India.
Kerjasama ini mencerminkan hubungan dua hala yang erat antara dua negara dan dijangka akan memberi manfaat kepada startup kedua-dua negara melibatkan hampir 3,800 startup yang disenaraikan dalam portal MYStartup dan kira-kira 116,000 startup di India yang berdaftar di bawah Startup India.
Skip to content