Skip to main content
Berita

YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Menerima Kunjungan Hormat Daripada H.E Ali Asgar Mohammadi, Duta Besar Republik Islam Iran

26 Januari 2023, Putrajaya – YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerima kunjungan hormat daripada H.E Ali Asgar Mohammadi, Duta Besar Republik Islam Iran di Malaysia; Mr. Mohammadsaleh Khaleghi, Head, Iran National Techmart Network Office of Vice Presidency for Science and Technology Iran; dan delegasi perniagaan Iran.
Pertemuan dua hala ini adalah untuk memahami dasar dan inisiatif MOSTI, serta meneroka peluang antara kedua-dua negara dalam bidang berkaitan sains, teknologi dan inovasi. Kedua-dua pihak akan terus meningkatkan kerjasama dengan memanfaatkan platform sedia ada.
Dari segi pengkomersialan, MOSTI merupakan peneraju kepada program Tahun Pengkomersilan Malaysia (MCY) yang merupakan inisiatif kebangsaan sejak 2016 untuk mempercepatkan pengkomersilan R&D tempatan daripada universiti dan agensi awam. Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersilan R&D (PTK) MOSTI membentangkan gambaran keseluruhan Ekosistem Pengkomersialan Malaysia.
Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), salah satu agensi di bawah MOSTI berkongsi mengenai Sandbox Teknologi dan Inovasi Negara (NTIS). NTIS ialah kemudahan yang dilancarkan oleh MOSTI bagi membolehkan penyelidik, inovator, syarikat pemula dan usahawan berteknologi tinggi untuk menguji produk, perkhidmatan, model perniagaan dan mekanisme penyampaian mereka dalam persekitaran langsung.
YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim juga memetik Rangka Kerja Malaysia MADANI yang dilancarkan baru-baru ini yang memacu wawasan negara untuk mewujudkan masyarakat yang bertamadun, berkemahiran dan inklusif berdasarkan enam nilai teras: kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. MOSTI berhasrat untuk merapatkan jurang akses teknologi secara mampan melalui sistem pintar untuk menghubungkan luar bandar dan bandar serta memacu ekonomi berdasarkan inovasi akar umbi.
Kunjungan seperti ini akan mengukuhkan hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang sains, teknologi, dan inovasi. Malaysia berharap untuk meneroka potensi kerjasama baharu dalam STI dengan Iran yang boleh mengukuhkan ekonomi kedua-dua negara.
DSC 1631        DSC 1644
Skip to content