- Meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI dalam kehidupan seharian
- Menarik minat dan meningkatkan bilangan pelajar yang memilih jurusan STEM selaras dengan agenda STEM Negara
- Menghargai dan mengiktiraf sumbangan dan kejayaan dalam bidang sains
i. RISE
Researcher-Industry Scientific Exchange (RISE) ialah platform yang menghubungkan penyedia khidmat kepakaran dengan pihak yang memerlukan penyelesaian dalam masalah yang dihadapi. Perkongsian kepakaran ini bertujuan untuk meningkatkan inovasi dan produktiviti serta pembangunan kapasiti bagi kedua-dua pihak melalui penyelidikan, konsultasi, pemindahan teknologi atau latihan. Peranan program ini adalah untuk membantu organisasi/industri mengguna pakai teknologi terkini, bertujuan untuk meningkatkan keupayaan inovasi dan produktiviti melalui penambahbaikan sistem dan proses.
ii. ENCULTURATION
Unit Pembudayaan adalah bertanggungjawab dalam merancang dan melaksana program pembudayaan berteraskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) khususnya Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics. Kedua-dua program ini merupakan inisiatif di bawah Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang menggariskan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi tempoh 2021 sehingga 2030. Unit ini juga bertanggungjawab untuk menyelaras permohonan penajaan bagi program kesedaran dan pembudayaan STI di bawah inisiatif MSN dan Malaysia Techlympics serta mengenalpasti keperluan mengadakan aktiviti dan pengisian yang berkaitan.
iii. INNOVATION
Unit MyIS (Malaysia Inovasi Sosial) merupakan unit yang menyelaras inisiatif inovasi sosial yang mengutamakan penyelesaian inovatif dalam menangani isu dan cabaran negara di peringkat akar umbi melibatkan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) selaku agensi pelaksana yang telah melaksanakan pelbagai program di bawah payung inovasi sosial. Unit ini bertanggunjawab dalam mencari penyelesaian inovatif ini meliputi aktiviti seperti mengenal pasti inovasi dan teknologi yang sesuai untuk diaplikasikan selaras dengan tema MOSTI iaitu untuk merakyatkan sains dan menginsankan teknologi. Antara program yang memberikan impak besar kepada komuniti akar umbi adalah seperti berikut:
(i) Program Malaysia Inovasi Sosial (MyIS Komuniti), merupakan salah satu inisiatif Inovasi Sosial yang dilaksanakan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bertujuan meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan hidup masyarakat terutamanya kumpulan B40. Sebanyak 234 projek telah dilaksanakan sejak tahun 2016 yang memberi manfaat kepada lebih 20,000 peserta melibatkan peruntukan sebanyak RM48.9 juta; dan
(ii) Program Mengarusperdanakan Inovasi Akar Umbi (MyIS Akar Umbi) memberi peluang pengembangan kemampuan inovator dengan menambah nilai produk inovasi daripada pembangunan prototaip sehingga ke pra-pengkomersialan. Sebanyak 1,458 inovasi telah dikenal pasti, 24 inovasi telah menerima geran bantuan pembangunan, 15 inovasi berjaya dikomersialkan dan 12 harta intelek difailkan dengan impak secara langsung dan tidak langsung kepada lebih 35,000 individu daripada 10 komuniti yang terlibat sejak tahun 2008.
iv. TALENT
Unit Bakat merupakan unit yang dipertanggungjawab untuk dua program teras iaitu melaksanakan Anugerah Saintis Muda Negara, Anugerah Teknologis Negara dan Anugerah Juruteknik Negara serta melaksanakan Inisiatif Upskilling for Deeptech & Futureskills (DTFS) yg melibatkan kerjasama dengan agensi-agensi di bawah MOSTI dan industri. Unit ini juga dipertanggungjawab untuk membantu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dari sudut Penilaian, Penamatan dan Pemurnian kursus-kursus peringkat Institusi Pengajian Tinggi dan AJK bagi Returning Expert Program (REP) di bawah Talent Corporation, Kementerian Sumber Manusia (KSM).