Skip to main content
Berita

Kimia Ke Desa Bantu Merakyatkan Sains, Teknologi Dan Inovasi

By 2016-10-08Mac 9th, 2017No Comments

MARANG, TERENGGANU, 8 OKT 2016 – Jabatan Kimia Malaysia yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi meneruskan agenda merakyatkan sains, teknologi dan inovasi (STI) menerusi program Kimia Ke Desa.

“Kimia Ke Desa merupakan program jangkau luar (Outreach) yang unik kerana ia membawa STI terus kepada masyarakat desa untuk memupuk minat mereka terhadap STI. Program ini juga merupakan inisiatif kementerian untuk membudayakan sains dalam masyarakat dan menukar pandangan orang ramai bahawa “sains itu mudah”, “sains itu menarik” dan “sains itu adalah sebahagian daripada kehidupan,” kata YB Datuk Dr. Abu Bakar bin Mohamed Diah, Timbalan Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi sewaktu merasmikan program tersebut di sini hari ini.

Menerusi pelbagai aktiviti yang dirangka, program ini diharapkan akan memastikan pelajar desa tidak tercicir dalam usaha kerajaan untuk mencapai nisbah pelajar sains kepada tahap 60% berbanding 40%. Program ini juga melambangkan komitmen MOSTI untuk meningkatkan bilangan pelajar yang memilih bidang berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik (STEM) dan menyediakan kekuatan tenaga kerja dengan asas sains, teknologi dan inovasi (STI) seramai 1 juta orang menjelang tahun 2020.

Program yang berlangsung selama 2 hari iaitu 7-8 Oktober di Dataran Alor Limbat, Kampung Alor Limbat, Marang, Terengganu turut mendapat kerjasama daripada Exco Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Negeri Terengganu, dan penduduk Kampung Alor Limbat. Menerusi program ini, masyarakat desa didedahkan dengan fungsi Jabatan Kimia Malaysia dalam penguatkuasaan undang-undang di samping memberi peluang masyarakat desa berinteraksi secara terus dengan kakitangan Jabatan Kimia

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program Kimia Ke Desa ini adalah pameran interaktif berkaitan dengan fungsi dan peranan Jabatan Kimia Malaysia, Ikon Kimia, pertandingan CSI (Crime Scene Investigation), pertandingan memancing, dekorasi kek, wacana ilmu, gotong royong, sukaneka dan sebagainya.

Skip to content