Skip to main content
Berita

Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2024

13 Jun 2024, Kuala Lumpur – Penganjuran Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2024 bakal diteruskan pada tahun ini dengan sasaran memupuk minat pelajar sekolah terhadap bidang STEM dalam usaha membina bakat berkemahiran tinggi bagi mencapai sasaran negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang, setiap program yang disusun di bawah Minggu Sains Negara menyasarkan penglibatan daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, para guru, pihak industri serta orang awam.
MOSTI komited untuk menggembleng tenaga dan usaha bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membudayakan STI melalui program-program pembudayaan STI di luar bilik darjah yang berterusan kepada kumpulan sasaran khususnya kanak-kanak dan pelajar di peringkat bangku sekolah melalui program MSN dalam memperkasakan agenda STEM Negara.
Pelaksanaan Karnival Minggu Sains Negara 2024 akan diteruskan secara fizikal dan bersasar di beberapa Negeri dengan pelaksanaan Karnival MSN 2024 yang pertamadilaksanakan di Pusat Sains Negara. Antara negeri yang akan turut menganjurkan Karnival MSN 2024 kelak adalah Negeri Perlis, Perak, Pulau Pinang, Kelantan, danPutrajaya.
Justeru, MSN 2024 akan berlangsung di seluruh negara secara hibrid melibatkan penganjuran secara karnival dan juga aktiviti dalam talian sehingga bulan Oktober 2024 bagi memaksimakan penglibatan dan penyertaan dalam kalangan masyarakat.
Bertemakan “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi”, MSN tahun ini mensasarkan penglibatan seramai 600,000 pelajar sekolah, penuntut institut pengajian tinggi serta masyarakat umum.
Seluruh rakyat Malaysia dijemput untuk bersama-sama memeriahkan Karnival Minggu Sains Negara 2024 yang akan dianjurkan serta mengikuti program-program berteraskan STI yang telah disediakan secara dalam talian. Pelbagai aktiviti dan pertandingan boleh diikuti menerusi platform MSN 2024
Skip to content