17 Januari 2023, Kuala Lumpur – Majlis Amanat YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi diadakan di Auditorium MRANTI pada hari ini bagi menyampaikan amanat, panduan dan hala tuju MOSTI bagi tahun 2023.
YB Tuan Chang Lih Kang dalam ucapan amanatnya menjelaskan akan mengambil pendekatan berteraskan 4K iaitu Komuniti, Kerjasama, Kemajuan dan Kemakmuran.
Pendekatan quadruple-helix yang melibatkan empat (4) pihak utama iaitu Kerajaan, akademia, industri dan komuniti adalah penting demi memacu agenda STI negara.
YB Tuan Chang Lih Kang turut menetapkan tujuh (7) fokus utama MOSTI pada tahun ini yang akan dilaksanakan melalui pendekatan berteraskan komuniti dan kerjasama bagi mencapai kemajuan dan kemakmuran di dalam sains, teknologi dan inovasi (STI).
Tujuh fokus tersebut melibatkan pemajuan Model Pembangunan Sistem Pencegahan Ancaman Bencana Alam, Kesihatan dan Bekalan Makanan Negara, pembangunan Sistem Pintar untuk Komuniti Bandar-Luar Bandar Terhubungyang melibatkan kerjasama MOSTI dengan Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, universiti serta industri, pelaksanaan inovasi sosial berteraskan akar umbi dan teknologi tempatan serta program penyelesaian cabaran industri dan Kerajaan melalui MYHackathon.
MOSTI juga akan merancakkan pengiktirafan kepada teknologi tempatan di dalam perolehan Kerajaan melalui Program MySTI serta pembangunan dan pengaplikasian teknologi termaju seperti nanoteknologi dan robotik.
Bagi memperkukuh pembangunan bakat sains dan teknologi, Program Upskilling for Deeptech and Futureskills akan dilaksanakan bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja negara, serta Program MyTechlympics untuk memupuk minat pelajar dan belia dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Fokus MOSTI ini amat penting bagi memastikan kemajuan STI menyumbang kepada pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, mencipta model perniagaan dan industri baharu untuk meningkatkan daya saing serta daya tahan ekonomi.
MOSTI selaku kementerian yang menerajui agenda sains, teknologi dan inovasi Negara komited untuk menjayakan strategi di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN 2021-2030). Pelaksanaan dasar ini adalah bagi memangkinperalihan negara kepada negara maju berteknologi tinggi menjelang 2030.
Hadir sama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Pengurusan Tertinggi MOSTI, agensi-agensi di bawah MOSTI dan rakan-rakan strategik industri.