Perancangan penubuhan CITF adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 20 Januari 2021 bahawa:
- Vaksinasi kepada penduduk Malaysia yang ramai melibatkan pengurusan rangkaian bekalan yang besar dan kompleks. Walau bagaimanapun, ini boleh dilakukan sekiranya perancangan dan koordinasi yang rapi serta tersusun dapat dibuat dalam memastikan pelaksanaan PICK berjalan dengan lancar. Ini termasuk keperluan mengenal pasti lokasi vaksinasi, ketersediaan infrastruktur dan keupayaan logistik serta kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan-kerajaan Negeri dan;
- Bagi memastikan vaksinasi dapat dibuat dengan sempurna, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan menguruskan pelaksanaan PICK daripada aspek bukan perkhidmatan kesihatan khususnya isu-isu berkaitan logistik dan penyelarasan dengan negeri-negeri dan agensi-agensi Kerajaan. Kementerian Kesihatan perlu terus menumpukan kepada fungsi-fungsi perkhidmatan kesihatan dalam menangani penularan wabak COVID-19.
Dalam melaksanakan fungsi tersebut, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah dilantik oleh YAB Perdana Menteri sebagai Menteri Penyelaras dan sekaligus mengetuai CITF, disamping juga mempengerusi secara bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dengan Menteri Kesihatan.