Skip to main content
Berita

‘Humanising Science’: Cabaran Mosti Bagi Tahun 2016

By 2016-02-22Mac 9th, 2017No Comments

PUTRAJAYA, 22 FEBRUARI 2016 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berperanan membudayakan sains dan teknologi dalam kalangan rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun usaha membudayakan sains dan teknologi berhadapan dengan cabaran apabila ramai yang beranggapan bahawa ‘sains itu satu ilmu atau bidang yang sukar’. Bagi tahun 2016, MOSTI mengambil langkah yang lebih fokus untuk mengubah tanggapan tersebut kepada “sains itu mudah dan menyeronokkan” serta menjadikan sains sebagai sebahagian daripada kehidupan rakyat.
Inisiatif ini diharapkan akan menyumbang kepada harapan Malaysia seperti yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri iaitu meningkatkan penghayatan dalam bidang inovasi: keusahawanan; penguasaan bahasa; dan kemahiran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Penghayatan dalam empat perkara ini membolehkan negara lebih berdaya saing seperti yang berlaku di Silicon Valley, Amerika Syarikat yang membangun dengan kejayaan Stanford University.
“Kefahaman sains dalam bentuk yang mudah difahami juga perlu didedahkan kepada masyarakat umum. Saya di fahamkan, pasukan outreach MOSTI melalui Pusat Sains Negara (PSN) telah mula bergerak semenjak tahun 2000. MOSTI boleh menggembeling tenaga dengan Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan syarikat swasta melalui Corporate Social Responsibility (CSR) mereka untuk menggerakkan PSN Trooperz supaya kawasan liputannya dapat diperluaskan. Apa yang penting adalah kita mahu semua rakyat Malaysia sedar akan betapa pentingnya STI ke arah membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju sains (scientifically advanced nation)”, kata YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Majlis Amanat di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, “Humanising science tidak akan lengkap jika para saintis sendiri tidak menjadikan sains sebagai alat untuk memudahkan dan membantu kehidupan manusia. Oleh itu, para saintis dan penyelidik Malaysia perlu juga dilengkapkan dengan kefahaman bahawa aktiviti R&D yang mereka lakukan hendaklah berpaksikan motif tersebut. Mereka juga perlu menanamkan nilai-nilai kemanusiaan supaya hasil R&D dapat digunakan oleh masyarakat umum bukan hanya untuk ditonton atau dibukukan dan disimpan di rak-rak buku semata-mata”
Tahun 2016 turut memperlihatkan MOSTI memikul amanah yang lebih besar iaitu sebagai pemacu salah satu perubahan atau game changer ke-5, iaitu “menjana kekayaan melalui inovasi” dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11). Selain itu, MOSTI turut dipertanggungjawabkan menerajui Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY 2016) yang menekankan aspek-aspek kesan positif terhadap penggunaan teknologi, mekanisasi dan automasi sehinggakan berlakunya pengurangan kos pengeluaran dan peningkatan produktiviti.
Pada suku akhir 2015, MOSTI telah memperkenalkan MOSTI Sosial Innovation (MSI) yang bermatlamat mengarusperdanakan inovasi akar umbi sejajar dengan inovasi yang dihasilkan melalui makmal oleh para penyelidik dan saintis. MOSTI juga akan terus menggiatkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan memberi keutamaan kepada projek-projek yang kosnya rendah, berimpak tinggi dan boleh dilaksanakan dengan cepat (low-cost, high impact, rapid execution).

Skip to content