Skip to main content
Berita

Malaysia Dan LAO PDR Menandatangani MOU Dalam Kerjasama Bidang Sains Dan Teknologi

By 2017-05-09Mei 25th, 2017No Comments

PUTRAJAYA, 9 MEI 2017 – Kerajaan Malaysia dan Lao PDR pada hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang Sains dan Teknologi untuk memperkasakan kerjasama sains dan teknologi antara ke dua buah negara.
MoU tersebut telah ditandatangani oleh Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains dan Teknologi dan rakan sejawat beliau, Dr. Boviengkham Vongdara di Perdana Putra, bersempana lawatan rasmi Dr. Thongloun Sisoolith, Perdana Menteri Lao PDR ke Malaysia.
Cadangan untuk menandatangani MoU di antara kedua negara telah dibangkitkan sesi dua hala antara Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dan Dr. Bovienkham Vongdara, di Vientiane, Lao PDR semasa Mesyuarat Menteri ASEAN dalam Sains and Teknologi ke-16 pada 2 hingga 6 November 2015.
Malaysia dan Lao PDR sebelum ini pernah menandatangani perjanjian kerjasama dalam bidang ekonomi, sains, teknikal dan kebudayaan di bawah naungan Kementerian Luar Negeri kedua belah negara pada 8 Disember 1992.
MoU ini merupakan platform untuk berkongsi ilmu, kepakaran dan memudahkan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi antara kedua belah pihak selaras dengan hasrat untuk memajukan ekonomi kedua belah negara. Sehubungan itu, kedua belah pihak akan saling menyokong penyertaan sektor awam dan swasta sama ada melibatkan universiti, institusi, syarikat swasta dan organisasi dalam sebarang projek usaha sama sains dan teknologi.
Dengan termetrainya MoU ini, satu Jawatankuasa Bersama dalam bidang Sains dan Teknologi akan ditubuhkan untuk menentukan skop keutamaan kedua-dua belah pihak dan seterusnya menjadi medium untuk merancang, menyelaras dan memantau kerjasama dua hala dalam sains dan teknologi. Kedua-dua belah negara telah bersedia untuk mengadakan kerjasama dan kolabrasi dalam bidang sains, teknologi dan inovasi terutamanya dalam bidang bioteknologi, pembangunan standard dan keselamatan siber.
Di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN, negara anggota ASEAN sedang berusaha ke arah matlamat menjadikan negara-negara anggota lebih bersepadu dari segi ekonomi, mampan dan berdaya saing dalam ekonomi global. Oleh itu, usaha Malaysia dalam menandatangani MoU dalam bidang STI dengan Lao PDR menunjukkan komitmen tinggi Malaysia dalam menyokong agenda AEC.

Skip to content