Skip to main content
Berita

Seminar Bioteknologi Kebangsaan 2013

By 2013-06-06Mac 10th, 2017No Comments

Pulau Pinang, 6 Jun 2013 –  Jam 9.00 pagi ini YB Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)  telah merasmikan Seminar Bioteknologi Kebangsaan 2013 (NBS 2013) yang bertempat di Hotel Equatorial. Program yang dianjurkan oleh MOSTI melalui Bahagian Bioteknologi Kebangsaan (BIOTEK) dan National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) ini akan berlangsung daripada 6 – 8 Jun 2013.

Bertemakan “Bioeconomy: Delivering Sustainable Growth And Renewable Resources” NBS 2013 melibatkan penyertaan daripada 206 penyelidik daripada pelbagai universiti dan institusi penyelidikan serta 17 gerai pameran mempamerkan produk-produk terpilih yang telah berjaya dikomersilkan.

Objektif NBS adalah supaya setiap aktiviti R&D dalam industri berasaskan bioteknologi yang dilaksanakan oleh semua pihak adalah berlandaskan kepada agenda bioekonomi dengan matlamat untuk memperkukuhkan dan mengarusperdanakan sains, teknologi dan inovasi (STI) di semua peringkat dan dalam semua sektor pembangunan negara.

NBS 2013 adalah salah satu program yang dirancang oleh MOSTI bagi menyokong Dasar Bioteknologi Negara (DBN) yang dilancarkan pada tahun 2006 yang juga merupakan platform bagi penyelidik-penyelidik daripada pelbagai latar belakang dan industri terutamanya saintis-saintis muda untuk berkongsi maklumat, kepakaran, idea dan teknologi di samping memperkukuhkan jaringan dan kerjasama di antara satu sama lain.

Pelbagai sesi perkongsian ilmu telah diatur termasuk seminar, sidang plenari, pembentangan laporan, perbincangan kritis dan maklumat semasa yang meliputi pelbagai topik berkaitan industri bioteknologi.

YB Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah melalui ucaptama perasmian berkata, “Melalui penyertaan (penyelidik dan saintis) ini, ia akan memberi peluang dan ruang kepada pihak industri, penyelidik dan agensi berkaitan membina rangkaian dan hubungan strategik serta potensi kerjasama yang boleh dimanfaatkan bersama di masa hadapan”. Seminar ini juga dijangka dapat mencetuskan idea-idea baru dan mampu meneraju penyelidikan ke arah pengkomersilan.

Skip to content