National Science Week

Latar Belakang

Minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan pelajar perlu diberikan perhatian serius. Perkara ini penting bagi memastikan negara mempunyai modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran selari dengan keperluan negara menjelang 2050.

Bagi memastikan keperluan modal insan ini tercapai, pembudayaan inovasi dan kreativiti pada semua peringkat masyarakat perlu dipergiat menerusi pelaksanaan program dan aktiviti berteraskan sains, teknologi dan inovasi (STI). Penglibatan menyeluruh semua pihak seperti pihak guru, pelajar, ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan dan industri diyakini dapat meningkatkan kesedaran dan minat terhadap kepentingan STI. Bagi memberi impak yang lebih besar dan menyeluruh, satu minggu khas perlu dikhususkan sebagai salah satu inisiatif untuk menyemarakkan gerakan sains kebangsaan. Berikutan itu, Kerajaan telah menetapkan Minggu Sains Negara disambut pada minggu pertama bulan April setiap tahun bermula pada tahun 2018.

Sambutan Minggu Sains Negara ini adalah selari dengan sambutan World Science Day yang dianjurkan oleh United Nations Organization for Education, Science and Culture (UNESCO) semenjak tahun 2002 yang turut diamalkan di beberapa buah negara seperti Afrika Selatan, Republik Rakyat China, Kanada, Norway dan United Kingdom. Selain itu, negara-negara seperti India dan Thailand pula memperuntukkan satu hari sahaja bagi sambutan hari sains.


Objektif utama

  • Meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI dalam kehidupan seharian
  • Menarik minat dan meningkatkan bilangan pelajar yang memilih jurusan STEM selaras dengan agenda STEM Negara
  • Menghargai dan mengiktiraf sumbangan dan kejayaan dalam bidang sains

Sasaran

Pelbagai lapisan masyarakat seperti pelajar (sekolah/siswazah pusat pengajian tinggi), pendidik, saintis, belia, sektor awam, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

Penganjuran Minggu Sains Negara 2020

Rentetan kejayaan pelaksanaan Minggu Sains Negara 2019, MOSTI meneruskan penganjuran program ini pada tahun 2020 dalam usaha menyemarakkan lagi aktiviti inovasi dan kreativiti negara. Penganjuran Minggu Sains Negara secara tahunan ini akan menggunakan pendekatan  berbeza berbanding penganjurannya pada tahun-tahun lepas bagi menggambarkan keterangkuman kemajuan sains dan teknologi yang bersifat dinamik.

Bagi meneruskan momentum kejayaan penganjuran Minggu Sains Negara, Kementerian telah merancang pelbagai aktiviti yang bermula pada minggu pertama bulan April 2020 di 14 buah lokasi di seluruh negara iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor, Terengganu, Kedah, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Ini adalah selari dengan keputusan Jemaah Menteri pada 13 Disember 2017 agar penganjuran Minggu Sains Negara dilaksanakan pada minggu pertama bulan April setiap tahun di seluruh negara.

Walau bagaimanapun, penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia  dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan bermula pada 18 Mac 2020 telah menyebabkan perancangan aktiviti Minggu Sains Negara 2020 perlu diselaraskan dan disusun semula dengan mengadaptasi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu.

TemaKeajaiban Sains / Magic of Science’

Menurut Anatri Desstya (2014), sains merupakan proses yang terdiri daripada sentuhan fizikal menerusi aktiviti – aktiviti hands-on, eksperimentasi dan proses analatik bertujuan untuk mengkaji keajaiban dunia. Secara ringkasnya, ‘Keajaiban Sains’ ini merupakan aktiviti lazim manusia yang ditanda dengan proses berfikir secara sistematik.

Menerusi pencapaian Minggu Sains Negara 2019, program ini dilihat sebagai salah satu platform untuk rakyat Malaysia amnya dan para pelajar khususnya meningkatkan minat dan kesedaran menerusi aktiviti-aktiviti pembelajaran saintifik yang dipadukan dengan pelbagai variasi model pendidikan berpaksikan sains, teknologi dan inovasi (STI). Dalam konteks ini, keajaiban sains akan membuatkan pelajar lebih berminat untuk meneroka dan memahami bidang sains dengan lebih mendalam.

Sehubungan dengan itu, tema ‘Keajaiban Sains/The Magic of Science’  adalah amat bersesuaian dengan aspirasi MOSTI untuk mengupaya sumber STI sedia ada mahupun yang akan datang bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berasaskan sains yang progresif, berdaya cipta dan berpandangan jauh. Dengan minda dan pemikiran rakyat yang kreatif dan inovatif, keajaiban sains boleh membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran sesebuah negara.

Anugerah Saintis Muda Negara dan Anugerah Juruteknik (Sains) Negara 2020

Bersempena dengan Minggu Sains Negara 2020, MOSTI turut menganjurkan Anugerah Saintis Muda Negara (Sains Hayat) dan Anugerah Saintis Muda Negara (Sains Fizikal).

Anugerah Saintis Muda Negara dianjurkan untuk memberi pengiktirafan kepada para saintis muda atas sumbangan dan pencapaian bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) sains dan teknologi (S&T). Anugerah ini diharapkan akan menjadi perangsang dan galakan kepada saintis muda tempatan untuk meningkatkan kecemerlangan, kreativiti dan sumbangan dalam bidang penyelidikan S&T.

Anugerah Juruteknik (Sains) Negara pula dianjurkan sebagai tanda pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang oleh Juruteknik (Sains) serta kakitangan separa iktisas yang berkaitan dengan S&T.

Tarikh tutup pencalonan bagi anugerah-anugerah ini adalah pada 30 Ogos 2020. Klik untuk maklumat lanjut dan borang penyertaan pencalonan.

Pertandingan

Antara pengisian yang diketengahkan dalam penganjuran Minggu Sains Negara tahun ini adalah pelbagai bentuk pertandingan pada peringkat negeri dan kebangsaan. Pertandingan-pertandingan ini dijalankan bermula pada April 2020 hingga Oktober 2020 dengan mengadaptasi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu dan memperbanyakkan pertandingan secara dalam talian. Penganjuran pertandingan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan mutu penglibatan golongan sasar dengan memberi pendedahan kepada aktiviti secara interaktif seterusnya membentuk kemahiran berfikir serta semangat kompetitif.

Berikut adalah senarai pertandingan yang dianjurkan sepanjang Minggu Sains Negara 2020.

Bil. Nama Pertandingan Penganjur
1. Pertandingan Kebangsaan i-Poster (Informative Poster) Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA)
2. Pertandingan Menulis Esei Sains dan Teknologi Nuklear Peringkat Kebangsaan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia)
3. Pertandingan Adiwira Nano Peringkat Kebangsaan Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC)
4. Pertandingan Penulisan Esei Nanoteknologi (PENT) Peringkat Kebangsaan Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC)
5. Program Rekabentuk dan Pembangunan Model Nano Satelit Peringkat Siswazah

Agensi Angkasa Malaysia (MySA)

 

6. Virtual National Science Challenge (NSC) Akademi Sains Malaysia (ASM)

PENGANJURAN MINGGU SAINS NEGARA 2019

Dengan tema “Sains untuk Kesejahteraan”, Minggu Sains Negara dianjurkan sekali lagi di seluruh negara pada tahun ini. Memasuki tahun kedua penganjurannya, Minggu Sains Negara 2019 menampilkan sedikit perbezaan berbanding penganjuran tahun sebelumnya yang mana pada tahun ini, Minggu Sains Negara dilaksanakan secara berfasa. Penganjuran Minggu Sains Negara 2019 secara berfasa adalah bagi memastikan inisiatif untuk menyemarakkan gerakan sains kebangsaan ini dilaksanakan secara lebih berfokus, berkesinambungan dan menyeluruh agar manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat Malaysia.


Fasa Penganjuran


TemaSains untuk Kesejahteraan

Tema “Sains Untuk Kesejahteraan” adalah signifikan dengan kehidupan seharian manusia kerana sains dan teknologi memberi kesan yang besar terhadap kelestarian alam sekitar dan masyarakat. Memandangkan pembangunan teknologi diperlukan untuk pembangunan negara, adalah sangat penting untuk menyepadukan ilmu sains dan teknologi dengan sains sosial dalam membincangkan isu berkaitan teknologi dan kesannya terhadap kelestarian persekitaran dan masyarakat. Kadar perkembangan teknologi yang pesat memerlukan pertimbangan yang teliti dan bermakna ke arah teknologi yang mencerminkan perkongsian nilai masyarakat dan persekitaran.

Revolusi Industri 4.0 meletakkan cabaran yang hebat kepada semua sektor di negara ini yang memerlukan kita melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital tersebut untuk kekal berdaya saing sama ada di dalam atau di luar negara. Cabaran 4.0 menuntut pembaharuan atau penemuan pelbagai teknologi dalam bidang seperti robotik automasi, penjanaan kuasa elektrik, kecerdasan buatan (artificial intelligence), reality maya (virtual reality) dan realiti terimbuh (augmented reality), lantas mengekalkan kelangsungan hidup dan menyemarakkan keamanan dan kesejahteraan rakyat. Sains dan teknologi memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian kerana setiap pergerakan yang dilakukan boleh diterjemahkan dalam konteks sains dan teknologi.

Selain itu, penggunaan dan penyebarluasan sumber sains mampu membentuk semula masa depan ke arah pembangunan ekonomi yang mampan selari dengan kelestarian alam sekitar, kesejahteraan rakyat dan keselamatan sejagat. Penghasilan produk dan peralatan melalui teknologi hijau dapat menjimatkan sumber asli serta menggalakkan sumber yang boleh diperbaharui.

Aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga perlu mengambil kira kelestarian alam sekitar dan menangani kesan perubahan iklim. Keseimbangan antara pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan adalah penting dalam meningkatkan ekonomi negara. Penggunaan sumber juga hendaklah dilaksanakan dengan lebih bertanggungjawab. Kesan negatif alam sekitar termasuk kekurangan sumber dan bencana alam dapat dielakkan dengan menggalakkan industri menggunakan teknologi yang rendah karbon dan mesra alam.


PERTANDINGAN VIDEO PENDEK / LAPORAN AKTIVITI MINGGU SAINS NEGARA PERINGKAT SEKOLAH

Sejajar dengan aspirasi Minggu Sains Negara 2019 bagi meningkatkan penglibatan rakyat khususnya pelajar-pelajar sekolah dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI), program dan aktiviti berteraskan STI, MOSTI akan mengadakan Pertandingan Video Pendek dan Laporan Aktiviti Minggu Sains Negara Peringkat Sekolah dengan tema “Sains untuk Kesejahteraan”.

  1. Syarat pertandingan dan format pelaporan program/aktiviti boleh dimuat turun di sini.
  1. Format pelaporan program/aktiviti perlu diisi oleh pihak sekolah dan dihantar kepada Urus Setia Minggu Sains Negara 2019 melalui e-mel seksyenpembudayaan@mosti.gov.my sebelum atau pada 31 Ogos 2019. Sebarang pertanyaan, sila hubungi Encik Muhammad Fauzi bin Samsubaha melalui talian 03-8885 8148 atau e-mel mfauzi@mosti.gov.my

MINGGU SAINS NEGARA 2018

Minggu Sains Negara bagi tahun 2018 telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama dan sokongan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri, sekolah-sekolah, institusi pendidikan tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), industri dan pihak media. Kejayaan penganjuran Minggu Sains Negara tahun ini telah membawa anjakan baharu dalam pembangunan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) negara. Kementerian ini berharap usaha dan kerjasama ini akan diteruskan dan dipertingkatkan dalam penganjuran Minggu Sains Negara pada tahun-tahun akan datang dan seterusnya menjayakan gerakan ‘Negaraku Berinovasi”.

Layari Buletin Fokus Minggu Sains Negara 2018 untuk rangkuman penuh pelaksanaan Minggu Sains Negara bagi tahun 2018.

Skip to content